Wednesday, September 30, 2009

Kekuatan iman aset remaja rancang masa depan

MENYUSURI sejarah perkembangan tamadun Islam, tokoh muda seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Usmanah bin Zaid, Abdullah Ibn Umar, Ibn Abbas, Saidatina Aisyah dan beberapa nama besar lain, adalah pelopor muda daripada kalangan sahabat Rasulullah saw yang menempa nama dan memberi sumbangan besar ketika usia muda.

Jasa mereka sentiasa terpahat dalam sejarah tamadun Islam dengan sumbangan tidak ternilai.

Susur galur sejarah juga memaparkan tokoh berkenaan pada waktu usia muda, membuka 1001 lembaran baru sebagai teladan bagi remaja masa kini untuk memanfaatkan usia muda serta menyumbang sesuatu kepada agama, bangsa dan negara.

Inilah harapan, impian dan juga cabaran yang diletakkan kepada remaja masa kini untuk membuktikan kemampuan mereka sama ada menjadi generasi yang cemerlang atau sebaliknya.

Zaman remaja sering disalah anggap sebagai zaman untuk mencuba sesuatu yang baru sedangkan hakikatnya, zaman ini adalah zaman keemasan kerana ruang dan peluang yang ada jika digunakan untuk tujuan kebaikan, menghasilkan kebaikan.

Begitu juga sebaliknya, jika nafsu dan cita rasa ‘orang muda’ tidak dipelihara atau dipandu dengan landasan iman yang sebenarnya, sudah tentu hasilnya tiada. Tepuk dada tanya iman di jiwa.

Mempunyai anak remaja yang soleh, cemerlang dalam pelajaran, berakhlak mulia, taat, berbudi pekerti luhur adalah impian setiap ibu bapa kerana remaja yang baik tingkah laku akan disayangi serta disenangi.

Namun, satu cabaran yang pasti dihadapi dan perlu ditempuhi remaja ialah zaman kemuncak menentukan identiti diri sendiri.

Jika zaman itu dipupuk berasaskan iman, akan lahirlah kekuatan sebenar seorang insan.

Iman yang menghiasi diri seseorang akan menjadi benteng daripada melakukan sesuatu yang merosakkan atau mungkin menyebabkan seseorang itu terjerumus ke lembah kehinaan dan kehancuran.

Orang yang beriman dihiasi dengan rasa malu, disinari dengan rasa cinta yang suci kerana Allah dan dipereratkan dalam akidah yang satu.

Iman yang terpahat dalam diri seseorang akan sentiasa mendorong untuk mempertingkatkan keupayaan dan kualiti diri seterusnya mencapai nilai iman yang sebenarnya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ada tiga perkara (syarat) untuk mendapatkan kelazatan iman iaitu mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada mencintai orang lain; mencintai seseorang semata-mata kerana Allah; dan benci kembali kepada kufur serupa dengan bencinya jika dia dicampakkan ke dalam api neraka yang menyala.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Mencintai Allah dan Rasul-Nya akan melahirkan rasa cinta antara seseorang dan dapat membentuk insan yang bertakwa kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik amalan ialah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” – (Hadis riwayat Bukhari).

Iman sifatnya adalah penyelamat bagi seseorang yang terdorong untuk melakukan sesuatu kesalahan kerana iman yang mendiami diri seseorang akan mengawalnya daripada melakukan dosa.

Lukman Al-Hakim yang terkenal dengan kata-kata nasihatnya, suatu hari pernah ditanya anaknya: “Wahai bapaku! Apakah sebaik-baiknya perkara bagi manusia?”

Jawab Lukman: “Agama”.

Ditanya lagi: “Kalau perkara itu dua?”

Dijawabnya: “Agama dan harta.”

Anaknya terus bertanya lagi: “Jika tiga?”

Lantas dijawab: “Agama, harta dan malu.”

Ditanya lagi: “Jika empat?”

Dijawab Lukman: “Agama, harta, malu dan budi pekerti yang baik.”

Ditanya lagi oleh anaknya: “Jika lima?”

Seterusnya dijawab Lukman: “Agama, harta, malu, budi pekerti yang baik serta pemurah.”

Tanya anaknya: “Jika enam?”

Lukman dengan jawapan yang bijaksana menjawab: “Wahai anak kesayanganku, jika lima perkara sudah terkumpul dalam diri seseorang, maka dia adalah suci terpelihara (takwa), dilindungi Allah dan bebas daripada syaitan.”

Remaja hari ini dihiasi pelbagai identiti.

Ada antara mereka terbabit dengan gejala tidak sihat seperti ketagihan dadah, suka berpeleseran serta berpakaian mengikut budaya Barat. Kehidupan remaja sebegini menyebabkan mereka tidak terurus dan mencerminkan akhlak sangat rendah.

Nasib mereka untuk masa depan tidak dapat ditentukan kerana jatuh bangun sesuatu bangsa dilihat kepada generasi hari ini.

Dalam dunia globalisasi, pencarian identiti diri bagi seseorang remaja harus dibimbing oleh iman kerana kekuatan ruhaniah dan iman yang mantap adalah benteng kepada identiti sebenar dalam diri insan.

Kebanyakan remaja hari ini tidak mempunyai matlamat dalam hidup menyebabkan mereka terumbang ambing. Secara realitinya, ada yang beranggapan hidup untuk mencari keseronokan, mahu kesenangan, mahu dikasihi, menyayangi, mahu kebebasan dan segala kemahuan yang memenuhi gelora jiwa.

Konsep kebahagiaan yang ingin dinikmati telah disalahtafsirkan walaupun pada dasarnya tidak salah mereka mempunyai kemahuan begitu tetapi perlu dibimbing dengan iman serta takwa.

Adalah penting remaja didedahkan kepada pilihan yang terbaik supaya mereka dapat membuat keputusan terbaik.

Manusia tersesat dalam membuat pilihan akan porak peranda hidupnya. Kerana itu, kita lihat semakin manusia berusaha mencari bahagia, mereka semakin menderita kerana dalam pencarian itu mereka melanggar perintah Allah.

Usaha merencana hidup perlu dibuat dengan sebaiknya kerana sebagai harapan negara, remaja perlu mempunyai jatidiri, berketrampilan, mempunyai ketahanan mental, jiwa yang padu dan punyai kekuatan ilmu yang sempurna.

Sehubungan itu, usaha perlu dipertingkatkan bagi membina, memupuk generasi yang hendak dilahirkan yang mampu membuktikan keupayaan menggalas hasrat dan harapan berkenaan.

Perancangan masa depan harus dimulai dengan menetapkan matlamat, mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran, mendedahkan diri dengan dunia luar agar tidak teraba-teraba mengharungi cabaran seterusnya mencapai kejayaan.

Konsep dalam merancang masa depan perlu disusun dengan langkah untuk berjaya iaitu yang pertama, mengetahui konsep tasawwur Al-Falah iaitu konsep kejayaan di samping mengenali konsep kegagalan seperti yang digariskan Allah.

Langkah kedua ialah mengikuti landasan yang betul dengan berpandukan arah jalan yang hendak dituju dengan memberi fokus yang sewajarnya.

Langkah ketiga, ialah memahami kejayaan tidak akan datang tanpa usaha, tawakal selain berdoa mengharapkan pertolongan daripada Allah.

Harapan untuk melihat generasi muda sebagai generasi yang menjadi sandaran terbesar bagi membela agama, memartabatkan nasib bangsa dan mendaulatkan negara tercinta perlu kepada komitmen dan kerjasama semua pihak.

Kita amat mengharapkan generasi muda terpimpin dengan taufiq dan hidayah Allah dalam merencanakan kehidupan agar mereka menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Artikel ini datangnya dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com
http://www.ukhwah.com/

URL untuk Artikel ini:
http://www.ukhwah.com/article.php?sid=1216

No comments: