Thursday, October 23, 2008

PRK Upsi: Kumpulan Kualiti dilaporkan mendahului Kebajikan

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Hrkh) - Pilihan Raya Kampus di Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) hampir melepasi fasa terakhirnya iaitu sesi bantahan.

Iklan




Menurut maklumat awal yang diterima Harakahdaily, keputusan pengundian setakat ini dimenangi kumpulan yang membawa moto 'kualiti' dengan mendapat 13 kerusi mengatasi hanya lapan kerusi yang diperolehi kumpulan 'kebajikan'.

Kumpulan kebajikan hanya mendapat tiga kerusi daripada kawasan umum dan lima dari kawasan fakulti iaitu satu dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, dua dari Fakulti Sains dan Teknologi, satu dari Fakulti Sains Kognitif dan satu dari Fakulti Seni dan Muzik.

Jumlah kerusi yang dipertandingkan ialah 21 kerusi, enam menang tanpa bertanding iaitu Fakulti Seni Muzik, Bahasa dan Sains Sukan. Empat lagi kerusi etnik akan dijalankan kemudian.

Peratus pelajar yang keluar mengundi adalah 61.15 atau seramai 7339 pelajar, yakni kurang berbanding tahun lepas yang mungkin dipengaruhi faktor cuaca hujan lebat.

Jumlah pelajar yang paling ramai membuang undi adalah daripada Fakulti Sains Kognitif dan paling sedikit dari Fakulti Seni dan Muzik.

Keputusan penuh diumumkan Dato' Naib Canselor di SITC jam 7.00 petang semalam.

Masa pengundian sepatutnya bermula sekitar jam 8.30 pagi, namun terpaksa bermula lewat iaitu kira-kira jam 8.45 pagi akibat masalah sistem pengundian iaitu e-voting tergendala sehingga pada jam 9.20 pagi pengundian terpaksa dihentikan, hanya dapat diteruskan semula sekitar jam 9.45 pagi.

Selain itu masa mengundi juga dianjak sehingga jam 7 malam. Sehingga tengah hari, masih terdapat flyer diedarkan walaupun ia diingatkan supaya tidak berbuat demikian.

Calon yang dapat undi terbanyak adalah calon umum, Akmal Madzir yang membawa moto kebajikan dengan 4124 undi daripada fakulti sains dan teknologi.

Berdasarkan pemerhatian, kemenangan beberapa calon daripada kumpulan kebajikan ini telahpun dijangka kerana Fakulti Sains dan Teknologi serta Fakulti Sains Kognitif mempunyai pelajar paling ramai.

Calon kumpulan Kebajikan yang menang, empat dari Fakulti Sains dan Teknologi dan dua dari Fakulti Sains Kognitif. Pelajar dari kedua-dua fakulti ini merupakan antara yang paling ramai keluar mengundi.

Manakala kolej yg paling ramai penghuni, Kolej Harun Aminurrashid, menunjukkan sokongan kuat semasa rapat umum terakhir pada 20 Oktober lalu.

Gelagat keterlaluan penyokong calon kumpulan Kualiti semasa rapat umum anjuran sekretariat turut mengundang padah. Bekas ahli Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2007/08 juga bersama-sama bersorak dan mengganggu pidato calon kumpulan Kebajikan dilihat sebagai tidak profesional dan menampakkan wajah sebenar pemimpin kumpulan Kualiti.

Meskipun Penyokong-penyokong pro-Mahasiswa dapat dikenalpasti melalui laungan 'kebajikan' dan 'revolusi' sedangkan Aspirasi pula dilihat kurang menonjol.

Namun, para calon sendiri tidak begitu menampakkan kelompok yang jelas. Cuma penyokong jelas dari dua kelompok. Secara umum, sepanjang kempen berjalan dengan lebih tenteram berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kempen pemilihan kali ini memperlihatkan penggunaan blog pada tahap maksimum.

Selain blog rasmi calon yang disediakan oleh pihak UPSI, blog-blog penyokong juga menjadi sumber rujukan pengundi iaitu upsikini.blogspot.com (4494 hit), guruohguru.wordpres.com (5040 hit) dan cintaupsi.blogspot.com (11878 hit).

Kumpulan Kebajikan yang diwar-warkan sebelum ini benar-benar membuktikan mereka relevan meskipun dilabel sebagai 'basi' dan sebagainya.

Calon-calon daripada kumpulan Kebajikan ini dikatakan mempunyai kekuatan dari segi sokongan mahasiswa di kalangan mereka yang begitu komited dengan gerak kerja kempen sehingga saat terakhir.

Mereka juga dikatakan berupaya menarik perhatian ramai pengundi dengan isu dan manifesto yang dibawa dalam PRK kali ini.

Kumpulan ini berjaya menafikan majoroti 2/3 kumpulan yang dikenali sebagai Kualiti setelah berjaya menawan lapan kerusi daripada 21 kerusi yang dipertandingkan.

Calon kumpulan Kebajikan yang menang dalam PRK kali ini adalah Akmal Madzir (umum), Nur Aqilah (umum), Arif (umum), Hanif Azwan (FST), Norhafizawati (FST), Mohamad ZUlhilmi (FSKPM), Adriyani (FSSK) dan Hisham (FSM) yang menang tanpa bertanding. Manakala calon Pro Kebajikan yang tewas pula adalah Wan Nasron (umum), Nazira (umum), Nurul Iman (FSSKPM) dan Suhainizam (FTMK).

Keputusan rasmi PRK ini hanya akan diumumkan setelah tempoh bantahan hari ini bermula jam 8.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari. - mns


http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17479&Itemid=1_

No comments: