Sunday, May 3, 2009

Kerjaya seorang guru: ANUGERAH HIDAYAH

sumber: http://ummuhusna99.blogspot.com/

ANUGERAH HIDAYAH


Saya memanggil nama mereka satu persatu. Seorang demi seorang tampil ke depan mengambil markah pada lembaran kertas peperiksaan. Ada yang menerima dengan wajah biasa. Ada yang menerima dengan riak gembira, dan tidak kurang juga yang menerima dengan rupa kecewa. Namun, semua rasa dipendam tanpa sepatah kata.


Bersusun warna biru pada helaian markah pelajar dengan di selang seli satu dua nombor bertinta merah di sebelah nama mereka. Hati saya tidak ceria. Melihat markah yang mendominasi kebanyakannya hanya cukup-cukup makan sahaja, apatah lagi menatap pemilik nama yang memperoleh warna merah. Bimbang, gusar dan amat tidak menenangkan. Suara bising pelajar yang berbual sesama mereka saya biarkan tanpa endah. Saya bagaikan tidak mahu bersuara apa pun saat itu. Hanya melayan kecamuk jiwa yang sedang menebal di dalam dada.



MULIA YANG PERLU DIPUPUK


“ Astaghfirullah, “ saya tersedar dari lamunan perasaan. Alangkah ruginya masa yang ada berlalu percuma. Sesuatu mesti diberitahu. Cepat-cepat saya bangun. Melihat itu, pelajar yang tadi berbual kosong kembali membetulkan duduk. Saya menoleh memandang wajah-wajah muda di hadapan saya, pelajar tingkatan 2 dari dua kelas yang dicantumkan untuk matapelajaran agama. Raut wajah mereka masih molek, belum bernoda dengan sebarang alat solek.


“ Berapa umur kamu sekarang ?” saya menyoal sambil memandang dari depan ke belakang.
“ 14 tahun Ustazah, “ balas mereka serentak.


“ Antara saya dan kamu semua, siapakah yang lebih mulia?” saya menyoal lagi ingin menguji.


“ Tentulah ustazah, sebab ustazah mengajar kami perkara-perkara baik, “ Amal, yang selalu duduk di depan sekali menjawab. Kawan-kawannya menggangguk mengiakan.


“ Kalau saya kata kamu sebenarnya lebih mulia berbanding saya, bagaimana ?” saya melanjutkan pertanyaan. Anak murid di hadapan saya saling berpandangan.


“ Takkan kami lebih mulia berbanding ustazah, “ kata Amira pula dengan wajah jelas tertanya-tanya. Saya tersenyum sebelum melanjutkan bicara. Kelihatannya mereka teruja dengan pertanyaan saya. Ini peluang baik, hati saya berbisik.


Saya kembali duduk bertimpuh di hadapan mereka. Waktu-waktu begini suasana di dalam surau memang sunyi dan damai. Hanya bunyi putaran kipas angin yang sampai ke gegendang telinga.


“ Ustazah, ceritalah kenapa ustazah kata kami lebih mulia, “ desak dua tiga pelajar yang duduk sebelah menyebelah. Nampak tidak sabar mereka mendengar penjelasan selanjutnya.


“ Umur kamu dan saya sangat berbeza. Saya sekarang berumur 31 tahun sedangkan kamu baru berusia 14 tahun. Kamu masih muda sedang saya semakin berusia. Jika dihitung dosa tentulah kamu lebih mulia dari saya, kerana dosa kamu masih sedikit berbanding saya yang telah hidup lebih dulu,” saya menjelaskan penuh keinsafan. Pelajar yang mendengar menekur memandang lantai.

“ Jadi, saya amat berharap agar kemuliaan ini kamu kekalkan. Hari ini, esok dan seterusnya untuk masa-masa akan datang,“ saya menambah bual kata.


“ Apa yang boleh kami buat Ustazah ? “ Asyikin mencelah.


“ Banyak. Antaranya ialah dengan berbuat baik sesama kawan dan guru-guru, juga tidak lupa perintah Allah dan jauhi laranganNya. Kita mulia kerana Iman dan Islam, bukan dengan pangkat, kecantikan dan harta kekayaan, “ panjang lebar saya menghuraikan.

Cikgu

Gambar hiasan


ALLAH LEBIH MENGETAHUI


Saya bergerak ke papan putih, mengambil pen dan melukis satu bulatan kecil. Pelajar di belakang kedengaran berbisik antara mereka.


“ Baik, siapa boleh beritahu saya, benda apakah yang saya lukis ini ?” saya bertanya seraya menunjuk kepada bulatan di atas papan putih.


“ Bola Ustazah, “ satu suara dari belakang menjawab dengan nada berjenaka. Semua ketawa mendengarnya. Saya menggeleng kepala tanda jawapan yang diberi tidak mengena.


“ Bulan..bulan..,” jawab pelajar di tepi kanan saya pula. Sekali lagi saya menggelengkan kepala.
“ Bukan juga. Kalau begitu saya fikir matahari sedang gerhana, “ Amal pula menjawab disambut gelak besar kawan-kawannya. Saya yang mendengar turut tercuit hati.


“ Baik. Semua jawapan tadi salah. Apa yang saya lukis ini ialah sebiji kuih pau.” Kali ini giliran saya pula diketawakan oleh mereka. Mungkin gelihati dengan jawapan yang tidak mereka sangka.


“ La...kuih pau rupanya. Ustazah ni buat lawak je la, “ ujar Amira, sempat lagi mengenakan saya. Saya tersenyum, terhibur dengan keriuhan anak murid di depan mata.


“ Lawak Ustazah bukan sebarang lawak. Ustazah sebenarnya membuat satu analogi mudah, bahawa sesuatu yang dilukis, walau ada pelbagai tafsiran orang yang melihat, tapi jawapan yang tepat tetap ada pada si pelukis. Dia lebih tahu kerana dia yang melukisnya,“ Saya kembali serius menyambung penjelasan.


Gambar hiasan

“ Demikianlah Allah SWT. Tuhan yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. DIA menjadikan kita dari tiada kepada ada, tentulah Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita jalani sepanjang hidup di dunia ini.” Saya memanjangkan huraian. Kelihatannya mereka semakin berminat mendengar.


“ Lalu Allah menurunkan wahyuNya berupa perintah dan larangan melalui Rasulullah SAW agar kita mampu menjadi mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh agama. Allah perintahkan kita solat, puasa, mengeluarkan zakat, mengerjakan Haji, menutup aurat, menuntut ilmu, berbuat baik sesama manusia dan banyak lagi. Juga Allah melarang minum arak, berjudi, berkata keji, malas belajar dan lain-lain lagi. Semua ini merupakan peraturan-peraturan yang wajib kita patuhi sebagai orang Islam yang beriman kepadaNya. Segalanya telah tertulis di dalam al Quran dan Sunnah RasulNya,” saya menambah lagi dan lagi.



KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT


“ Saya tahu ramai di kalangan kamu yang memperoleh markah cemerlang dalam subjek-subjek ; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan lain-lain. Tahniah saya ucapkan. Cuma apa yang agak mendukacitakan saya, mengapa pencapaian kamu dalam subjek agama tidak secemerlang seperti yang lain-lainnya ?”


“ Bayangkan jika markah yang kamu perolehi ini, seumpama peratusan iman untuk kamu persembahkan di hadapan Allah kelak, apa agaknya pengakhiran yang bakal kamu terima. Syurga atau neraka ?” bertalu-talu saya menyoal supaya mereka berfikir dan terus mencari jawapan.


bakal pewaris kepimpinan akan datang

Hilang sudah gelak tawa. Kini, masa untuk bermuhasabah pula. Saya sayang mereka sebagaimana saya menyayangi diri saya sendiri. Mereka masih punya banyak masa untuk berubah dan memperbaiki diri.


Suasana sunyi. Saya hanya memerhati dan membiarkan mereka berfikir sendiri. Depan, belakang, kiri dan kanan. Semuanya bagaikan sedang bermonolog di dalam diri.

“ Saya yakin pelajar-pelajar di hadapan saya sekarang ini bakal bergelar doktor, pegawai tinggi, peguam, arkitek, guru, ahli perniagaan dan mungkin juga pemimpin negara di masa depan. Saya amat berbesar hati mengingatkan itu. Akan tetapi, saya akan lebih berbangga jika yang muncul kelak adalah doktor, peguam, arkitek, guru, ahli perniagaan dan pemimpin negara yang menjadikan Islam sebagai panduan hidupnya. Ringkasnya kamu cemerlang untuk kehidupan dunia, juga gemilang untuk kehidupan di akhirat sana,“ saya berhenti seketika. Memandang mereka sekilas sebelum menyambung semula bicara.
is tu..







Gambar hiasan


“ Saya percaya kamu semua mampu melakukannya. Lihat markah kamu hari ini dan berjanjilah pada diri sendiri untuk memperbaiki keputusan bagi peperiksaan akan datang. Bukan sekadar untuk peperiksaan di dunia, tetapi juga untuk persediaan menghadapi alam sebelah sana. Alam akhirat yang tiada lagi hayat dunia. Apa yang perlu adalah usaha, dan tidak kenal malu untuk bertanya. Jika tidak mampu menyoal di dalam kelas, saya berharap kamu berjumpa saya di luar pengajian. InsyaAllah saya akan cuba membantu,” saya menutup kata dengan menarik nafas sedalam-dalamnya. Bagaikan ada sinar harapan pada wajah-wajah di hadapan saya.


Go to fullsize image

ANUGERAH HIDAYAH


Wajah-wajah bersih itu kini tidak lagi berada di hadapan saya. Semuanya tinggal sebagai pengalaman yang sempat saya kutip sewaktu berada di alam pendidik. Pengalaman yang turut mengajar saya menghargai mereka yang bergelar anak murid.
Go to fullsize image

Saya hanya menyampaikan, selebihnya doa saya panjatkan ke hadrat yang Esa agar hidayahNya mengiringi kehidupan mereka untuk semalam, hari ini dan akan datang. Melihat sebahagian mereka sudah mula mengenakan pakaian menutup aurat, menjadikan saya orang yang paling bersyukur atas nikmat dan anugerah hidayah dariNya. Mereka saya titipkan di bawah pentarbiyahan ustazah lain yang masih terus berjuang di samping mereka.


Terima kasih anak muridku. Kalian kekal sebagai sebahagian dari orang-orang yang pernah hadir di dalam kehidupan saya di dunia. Kita pernah bersama seketika, dan moga ada jodoh untuk kita berjumpa pula di ‘sana’. Firman Nya yang bermaksud :


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Yang Menguasai hari Pembalasan (hari akhirat). Hanya kepada Engkau (Ya Allah) kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Bimbinglah kami ke jalan yang lurus. Iaitu jalan orang yang Engkau telah anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang dimurkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat.
( al Fatihah : ayat 1 – 7 )

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.


6 Jamadil Awwal 1430


1 Mei 2009

No comments: