Sunday, September 6, 2009

Sirah: Dia contoh untuk manusia berdosa…

Sumber dari LANGIT ILAHI

dari penentang menjadi pembela... semuanya apabila hati diberi peluang untuk merasa...

dari penentang menjadi pembela... semuanya apabila hati diberi peluang untuk merasa...

Awalnya, dia adalah seorang yang amat memusuhi Rasulullah SAW. Tiadalah manusia yang lebih dia benci, melainkan seorang manusia yang bernama Muhammad bin Abdullah, yang mengakui membawa risalah dari langit.

Dia tidak teragak-agak untuk menyeksa sesiapa sahaja yang dia ketahui menganut agama suci itu. Padanya, tiada yang benar melainkan latta, uzza dan 360 berhala yang terdapat di Kaabah.

Satu hari, kerana tidak tertahan dengan perkembangan Islam, dan kerana keberaniaannya amat tinggi, dia bergerak untuk memenggal sendiri kepala Rasulullah SAW. Di tengah perjalanan, dia ditahan, dan diberitahu bahawa adiknya dan iparnya sendiri telah beriman.

Bergerak dia menyergah. Adik perempuan lemah ditampar. Ketika melihat darah tersembur dari mulut adik perempuannya, Allah melembutkan hatinya. Segera dia merasionalkan diri, lantas hendak memeriksa terlebih dahulu lembaran-lembaran yang adiknya bacakan sebelum kedatangannya tadi.

“Toha, Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepada kau untuk menanggung kesusahan. Tetapi untuk mereka yang takut melanggar perintah Allah…” Surah Toha, ayat 1-3.

Dan hatinya terbuka, disentuh cahaya.

Dari segelap jahiliyyah kepada seterangan cahaya hidayah, Umar Al-Khattab, berubah setiap darjah dalam 360 darjah.

Ya. Siapa yang tidak kenal dengan Umar Al-Khattab RA. Khalifah Ar-Rasyidin yang ke-2 dalam sejarah Islam. Terkenal sebagai antara yang terapat dengan Rasulullah SAW, bersama Abu Bakr RA. Dia amat popular dengan ketegasan dan keadilannya. Dia juga adalah yang berjaya menyebarkan Islam paling luas, dan rakyat di zamannya adalah paling soleh dalam sejarah.

Berbeza dengan Abu Bakr RA yang memang sedari zaman jahiliyyah tidak menyembah berhala dan meminum arak, Umar Al-Khattab RA adalah penyembah berhala tegar, peminum arak kuat, dan sering sahaja mengikuti pesta-pesta di pasar Ukkaz(tempat pesta orang quraisy).

Dia adalah seorang yang amat bijak, cerdik dan bijaksana. Namun kita dapat melihat betapa kebijaksanaannya terutup dengan jahiliyyah yang merantai jiwa.

Pernah satu ketika, selepas keislamannya, dia sekali menangis keseorangan, kemudian dia ketawa.

Orang bertanya: “Kenapa kau begitu wahai amirul mu’minin?”

Umar Al-Khattab menjawab: “Aku menangis, kerana aku teringat bahawa, ketika zaman jahiliyyah, aku menanam anak perempuanku hidup-hidup. Yang membuatkan aku hiba, adalah ketika kuletakkan anak perempuanku ke dalam lubang untuk ditanam, dia menyapu janggutku yang terkena debu pasir. Tetapi aku sedikit pun tidak terasa ketika itu, lantas terus menerus menanamnya hingga habis”

Begitu sekali kekerasan hatinya. Sehingga menutup akalnya yang bijaksana, bahawa anak itu satu nikmat yang berharga. Maka apakah yang membuatkan kau ketawa wahai Umar?

“Aku teringat dahulu, ketika hendak berniaga ke syam, aku akan membawa berhala yang dibuat dari tamar, agar mudah disembah di tengah perjalanan. Tetapi, apabila lapar, aku akan mengopek berhala itu, dan memakannya. Itu membuatkan aku ketawa”

Ketawa kerana dia melihat, betapa bodohnya dia ketika itu. Taksubnya kepada berhala, sehingga dia tidak perasan bahawa berhala itu tidak mampu melakukan kepadanya apa-apa, malah dia boleh memakan ‘tuhannya’ itu. Namun kerna kejahilannya, dia tidak nampak hal itu di zaman jahiliyyahnya.

Begitulah pekatnya jahiliyyah Umar RA.

Tetapi sepekat dan segelap mana pun Umar Al-Khattab, dengan beberapa ayat Al-Quran, hatinya tersentuh dan terbuka. Kenapa?

Kerana dia berjaya mengajak dirinya, duduk dan bermuhasabah. Ketika dia menampar adik perempuannya, melihat adik perempuannya tersungkur bersama darah tersembur, dia telah berjaya menjemput rasional dalam dirinya, membuka sedikit pintu hatinya, dengan berkata secara tidak langsung kepada jiwanya: “Apa salahnya aku tengok dahulu apa yang Muhammad bawa ini?”

Dan dengan sedikit yang terbuka tadi, sinar hidayah Allah menerobos masuk, membuka hati Umar RA seluas-luasnya.

Siapakah antara kita yang membuka hati kita kepada Islam?

Rata-rata kita bila diajak melakukan kebaikan, kita akan berkata awal-awal: “Susah lah, payah la, ish, tak terkongkong ke? Pakai tudung tu panas la, solat lima hari sekali tu leceh la” Dan pelagai alasan lagi, menutup serapat-rapatnya jiwa kita dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Sebab itu, walaupun kita tidak seteruk Umar di zaman jahiliyyah, kita tetap tidak berjaya mendakap kebaikan Islam.

Islamnya Umar, dia berubah 360 darjah. Setiap juzu’ hidupnya berubah. Jika jahiliyyahnya dia merupakan seorang yang amat berani dalam menentang Islam, maka ketika Islamnya, dia adalah yang paling berani menyebarkan agama Allah itu.

Dialah yang berkata kepada Rasulullah SAW:

“Ya Rasulullah, bukankah kita ini adalah yang benar?”

Rasulullah SAW menjawab: “Ya”

“Maka marilah kita keluar, beribadah secara terang-terangan”

Semenjak hari itulah ummat Islam berani melakukan solat secara terang-terangan di Masjidil Haram. Umar memimpin satu bari, manakala Hamzah memimpin satu baris. Membuatkan semua orang quraisy ketika itu amat menggeruni orang Islam dan tidak berani memperapa-apakan mereka secara berlebihan seperti sebelumnya.

Umarlah yang paling yakin dengan Allah SWT, ketika berhijrah, dia tidak bersembunyian. Dia mengumumkan penghijrahannya dan berkata:

“Kepada sesiapa yang ingin isterinya menjadi janda, anaknya menjadi yatim, ibunya kehilangan anak, maka berjumpalah aku di lembah berdekatan ini, sesungguhnya aku hendak berhijrah”

Dan tiada sesiapa yang berani menghalang Umar.

Umar RA bersungguh-sungguh dalam mempertingkatkan dirinya. Dia sentiasa berusaha membersihkan jiwanya. Satu hari dia pernah berkata kepada Rasulullah SAW:

“Ya Rasulullah, kau adalah manusia yang paling aku cinta, selepas diri aku”

Memang, logiknya, kita akan mengasihi diri kita, lebih sikit dari manusia yang paling kita cinta bukan? Umar juga manusia biasa ketika itu.

Tetapi Rasulullah SAW menjawab: “Tidak sempurna iman seseorang itu, melainkan diriku, lebih dicintainya, dari anak-anak dan dirinya”

Maka kita dapat melihat kecintaan Umar RA kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaannya pada dirinya, dalam beberapa peristiwa:

Pertama: Ketika beliau berziarah ke rumah Rasulullah SAW, dan melihat rumah baginda tiada apa-apa, melainkan satu alas tidur dibuat dari pelepah tamar, yang ketika Umar datang, Rasulullah baru bangkit darinya lalu kelihatan birat-birat alas itu di belakang tubuh baginda. Dan selain alas itu, hanya ada satu pengisar gandum.

Umar menangis. Lantas berkata: “Ya Rasulullah, raja-raja rom dan parsi, mempunyai katil dan istana yang luas. Engkau ya Rasulullah, lebih berhak ke atas semua itu”

Kita? Terasa kah kita dengan perjuangan Rasulullah SAW menyampaikan keimanan kepada kita?

Kedua: Ketika Rasulullah SAW wafat, Umar tidak mampu menerimanya kerna kecintaan yang sangat mendalam dalam jiwanya. Terasa, seakan-akan dirinya yang ditarik pergi. Menyebabkan dia akhirnya ‘terjatuh’ sedikit dari kewarasannya, kerna cintanya yang amat mendalam, lantas mengembarkan pedang sepanjang jalan dan menerit:

“Sesiapa yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah wafat, maka pedang ini akan menjadi habuan lehernya!”

Begitu juga sebelumnya, Umar lah yang mempertahankan Rasulullah apabila ada seorang badwi menyentap rida’ Rasulullah, hingga leher baginda menjadi merah. Umar hendak memenggal kepala arab badwi itu, dan Rasulullah SAW menghalang.

Begitulah juga ketika Abdullah ibn Ubay ibn Salul menjadi amat melampau dalam kemunafikannya, Umar menawarkan diri untuk menebas kepala Ketua Munafik itu, namun Rasulullah juga menghalangnya. Umar, adalah manusia terpantas dalam mempertahankan Rasulullah SAW.

Ketiga: Semasa Umar RA menjadi khalifah, dia pernah bertanya kepada anaknya Hafsah, yang menjadi isteri Rasulullah SAW.

“Wahai Hafsah, apakah makanan paling sedap yang Rasulullah SAW pernah makan di rumah? Maka makananku yang paling sedap di rumahku, adalah itu”

Rasulullah SAW, dengan rumah yang ada satu pengisar gandum sahaja, yang rumah baginda kadangkala berhari-hari dapurnya tidak mengeluarkan asap, agaknya apakah yang makanan tersedap yang baginda makan?

Umar, dia menetapkan dirinya sedemikian, kerna cintanya yang mendalam.

Pernah sekali, ketika dia menjadi amirul mu’minin, tubuhnya kurus kering. Hingga orang di sekelilingnya menyatakan kepadanya agar dia tidak memaksa diri. Dia berkata:

“Dua sahabatku telah pergi, dan aku sedang berada di atas jalan yang pernah mereka lalui”

Dua sahabat itu adalah Rasulullah SAW dan Abu Bakr RA.

Umar RA benar-benar bersungguh dalam mengikuti jejak Rasulullah SAW, mencontohi baginda dalam segenap kehidupan.

Itulah dia Umar Al-Khattab. Yang saya tulis ini, secebis sahaja. Bukan hendak menceritakan kisahnya seluruhnya. Tetapi sekadar hendak menarik perhatian pembaca, bahawa Umar Al-Khattab ini asalnya seorang pendosa, penyembah berhala, peminum arak.

Tetapi dia berjaya menjadi yang terbaik di dalam Islam. Antara 10 yang diberitakan syurga semasa masih hidup. Menjadi Khalifah kepada seluruh ummat Islam. Hebatnya dia, hingga Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sekiranya Umar melalui satu lorong, maka syaitan akan memilih lorong lain dari bertembung dengannya”

“Sekiranya ada lagi nabi selepas aku, maka dialah Umar”

Asalnya, dia adalah orang yang hendak membunuh Rasulullah SAW dengan tangannya sendiri!

Macam mana kita?

Sekeras dan segelap Umar, dia memberikan sedikit ruang untuk melihat apa yang Rasulullah SAW bawa, dan dari sedikit ruang itu, Allah membukakan kepadanya hidayah-Nya.

Bagaimana kita? Pernahkah kita membuka ruang pada diri kita, untuk mendalami Islam?

Umar Al-Khattab, ternyata contoh untuk para pendosa, agar kembali kepada-Nya.

Dia berjaya membuktikan bahawa, tiada yang rugi apabila manusia kembali kepada-Nya.

2 comments:

Nazmie Samarahan said...

Itulah kehebatan al-quran..Seganas dan segarang Umar pun boleh terpaut.. apatah lagi hati kita bila selalu di baja dan di siram dgn al-quran..

Nurul..ana cadangkan agar nti memasukkan gambar berkaitan.. atau apa2 sja gambar berunsur nasihat dalam artikel..Artikel nti tak berat..santai..namun bila di padatkan..perlukan dorongan yang tinggi untuk baca hingga akhirnya..

Nurul S Othman said...

salam ustaz.
ana amil artikel ini dari sahabat maya.
seorang adik.

namun jiwanya amat besar...

ini blog dia. rasanya ustaz pun tahu kot http://ms.langitilahi.com/sirah-dia-contoh-untuk-manusia-berdosa/