Monday, February 9, 2009

ISLAM SEBAGAI SOLUSI ATAU PUNCA KEGANASAN?


Al-Quran Menganjurkan Kebaikan, Keadilan dan Keamanan


Jika dikaji dengan terperinci dapat disimpulkan bahawa keganasan itu dilakukan seseorang bagi mengejar target dalam agenda politiknya. Dalam erti kata lain, mangsa keganasan bukanlah sasaran utama tetapi yang sebenarnya ditujukan kepada pihak lain. Perbuatan keji yang dilakukan Hitler dan Stalin menjadi contoh yang tepat dan sememangnya bertentangan dengan moral keadilan manusia.


Al-Quran diturunkan untuk memandu manusia menurut kebenaran dan Allah memerintah hamba-Nya supaya mengadaptasikan akhlak dalam kehidupan. Akhlak yang merangkumi cinta, belas kasihan, toleransi, dan keamanan boleh diamalkan ke seluruh dunia:

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam keamanan (Islam) secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (Surah al-Baqarah: 208)


Ajaran dari Al-Quran yang diimani orang Islam bukan sahaja menjadi panduan hidup mereka tetapi sesuai juga untuk bukan Islam kerana isi kandungannya mencakupi keadilan, memelihara orang yang memerlukan dan bersalah serta mencegah dari segala kerosakan. Allah juga berfirman, "Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. (Surah al-Qasas: 77)


Membunuh seseorang tanpa sebab yang diterima merupakan salah satu contoh kerosakan. Allah mengulangi di dalam Al-Quran seperti yang pernah diungkapkan kepada Yahudi di dalam Old Testament:

Oleh karena itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam membuat kerosakan di muka bumi. (Surah al-Maidah: 32)


Jelas diperkatakan bahawa membunuh seseorang kecuali jika orang itu membuat kekacauan di muka bumi adalah satu jenayah yang diibaratkan seperti membunuh manusia seluruh alam. Begitu juga dengan kes yang membunuh manusia beramai-ramai dengan cara serangan membunuh diri (suicide attacks) juga terlibat sekali. Allah memberitahu kita akan balasan di akhirat bagi mereka yang sekejam ini:

Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih. (Surah ash-Shura: 42)


Justeru, bagaimana boleh timbul satu tema 'Keganasan Islam'? Dari apa yang dijelaskan adalah mustahil jika dikaitkan Islam dengan keganasan. Apa yang jelas di sini ialah punca keganasan bukanlah dari agama tetapi dari faktor fenomena sosial.


Tentera Salib: Manusia Tidak Bertamadun Yang Menginjak Agamanya Sendiri

Isi kandungan agama yang benar atau sistem kepercayaan adakalanya boleh diseleweng oleh penganutnya yang palsu (pseudo-adherents). Contoh yang tepat boleh dilihat ketika zaman kegelapan dalam sejarah Kristian yang diputarbelitkan oleh tentera perang salib.

Tentera salib yang terdiri dari penganut Kristian Eropah yang bermatlamat untuk menjajah Holy Land (Palestin) dari tangan orang Islam di akhir abad ke-11 sebenarnya dikatakan berjuang atas nama agama. Tetapi mereka telah memanipulasi pengikutnya dengan memasuki tanah itu dengan keganasan dan kekejaman. Orang ramai yang tidak bersalah menjadi mangsa pembunuhan dan banyak kampung dan kota diceroboh.


Jerusalem yang menjadi kediaman orang Islam, Yahudi dan Kristian di bawah pentadbiran Islam yang aman telah bertukar menjadi medan pertumpahan darah yang amat dahsyat. Kekejaman mereka tidak berhenti setakat itu sahaja malah kota Istanbul yang merupakan kota Kristian juga diceroboh dan habis emas permata dicuri dari gereja-gereja.


Tanpa disangkal bahawa keganasan ini amat bertentangan dengan ajaran Kristian kerana agama Kristian yang dimaksudkan Bible ialah 'Gospel of Love'. Di dalamnya menurut Matthew, Jesus mengatakan, "Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi mereka yang menganiaya kamu" kepada penganutnya (Matthew, 5/44). Menurut Luke pula, Jesus mengungkapkan "Jika seseorang memukul pipi kamu, balaslah dengan cara yang lain" (Luke, 6/29). Di dalam bahagian New Testament pula tidak ada langsung rujukan yang melegitimasi keganasan.


Yang menjadi persoalan ialah jika Kristian adalah agama yang berteraskan kasih sayang, bagaimana boleh terjadi peristiwa berdarah yang dilakukan tentera salib? Punca utama berlaku sedemikian ialah kerana tentera salib itu dibentuk dari mereka yang jahil tentang agama, yang tidak pernah membaca atau melihat Bible sepanjang hayat atau mereka yang tidak menghayati ajaran yang terkandung di dalam Bible. Mereka dihimpunkan menjadi tentera salib di bawah slogan "God wills it".


Mengikut sejarah, pada zaman itu kehidupan penganut Kristian di Timur lebih bertamadun jika dibandingkan dengan Kristian di Barat. Cuma selepas peristiwa berdarah itulah barulah Kristian Ortodoks mengambil pendekatan untuk hidup bersama orang Islam. Menurut Terry Johns, pengulas BBC, dengan berakhirnya perang salib di timur tengah 'telah mewujudkan kehidupan bertamadun dengan gabungan tiga agama di bawah satu bumbung keamanan'.


Nyata bahawa tentera salib itu bukanlah penganut sejati Kristian tetapi mereka terdiri dari orang yang jahil dalam segala ilmu lalu dipergunakan untuk menjayakan sesuatu ideologi walaupun tidak wujud langsung sebarang kepentingan ideologi itu dalam agama. Kekejaman Khmer Rouge di Kemboja menjadi contoh kerana terpengaruh dengan ideologi komunis yang cenderung kepada keganasan. Sebabnya juga kerana mereka terdiri dari orang yang jahil. Mereka yang jahil ini sebenarnya keliru dengan tujuan keganasan yang kononnya digunakan untuk membanteras keganasan (atau untuk agama).

No comments: