Wednesday, October 7, 2009

berita dunia:Tangisan misteri di runtuhan hotel



BEBERAPA anggota penyelamat mencari mangsa di celah runtuhan Hotel Ambacang di Padang semalam.


PADANG - Sekumpulan pekerja berhenti meruntuhkan bahagian Hotel Ambacang yang rosak akibat gempa bumi kuat apabila seorang penduduk terdengar bunyi tangisan misteri dari bawah runtuhan semalam, enam hari selepas bencana itu berlaku.

Seorang pekerja hotel tersebut dikenali sebagai Rizki memberitahu, dia terdengar tangisan seorang wanita dari bawah runtuhan Hotel Ambacang walaupun suasana ketika itu bising dengan bunyi enjin beberapa jentolak dan jentera lain yang sedang memindahkan serpihan runtuhan.

"Semasa saya berjalan di atas runtuhan hotel itu saya terdengar suara lemah menjerit 'Tolong, tolong, tolong," kata Rizki

"Saya yakin suara itu daripada seorang mangsa yang masih hidup. Suara itu semakin lemah sebelum ia akhirnya tidak kedengaran," tambahnya.

Selepas memaklumkan kepada pihak berkuasa, satu pasukan penyelamat bergegas menggali beberapa lubang menembusi beberapa lapisan dinding konkrit tetapi mereka melaporkan tiada tanda-tanda mangsa masih hidup terperangkap di situ.

Episod berkenaan cuma sebahagian daripada penderitaan ribuan penduduk yang kehilangan anggota keluarga mereka selepas gempa bumi berkekuatan 7.6 pada skala Richter meruntuhkan puluhan ribu bangunan dan kediaman di sini selain menyebabkan tanah runtuh yang menimbus 600 orang di beberapa buah perkampungan di wilayah Sumatera Barat pada Rabu lepas.

Beberapa pegawai berkata, angka kematian rasmi setakat semalam mencecah 704 orang tetapi dijangka meningkat kepada beberapa ribu orang tidak lama lagi.

"Saya kembali ke sini (Hotel Ambacang) setiap hari untuk mendapatkan perkembangan terbaru," kata Firmansyah yang kehilangan isterinya ketika menginap di hotel berkenaan.

"Saya sangsi dia masih hidup selepas enam hari. Saya cuma berharap mayatnya ditemui," jelas lelaki itu. - AP

No comments: